Rabu, 22 Februari 2012

Majlis Pelancaran Program Mentor-Mentee LINUS

Serentak dengan majlis perhimpunan mingguan pada 20 Februari 2012 lalu, telah diadakan majlis pelancaran Program Mentor-Mentee LINUS. Program yang bertemakan "Tunjuk Ajarku Cikgu" ini adalah hasil gagasan Jawatankuasa LINUS SK Permatang Raja. Matlamat utama program ini adalah untuk memastikan kesemua murid tahap satu dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta dapat melepasi ujian saringan yang telah ditetapkan oleh KPM/JPN/PPD.
Melalui program ini, tujuh orang guru telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi mentor dan akan membimbing mentee masing-masing. Mentee ini dipilih di kalangan murid-murid yang masih belum melepasi ujian saringan LINUS. Mentor akan memantau perkembangan mentee masing-masing sehingga mereka berjaya melepasi setiap saringan.

Isnin, 20 Februari 2012

Sekitar Sambutan Maulidur Rasul

Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun 1433H/2012M peringkat sekolah telah selamat diadakan pada tanggal 17 Februari 2012 sebagaimana yang telah dirancang. Walaupun kehadiran YB Datuk Hj. Rosli B. Husin, ADUN Trong ke majlis ini hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir, pihak jawatankuasa pelaksana tetap berjaya memastikan kelancaran perjalanan majlis ini. Kesudian YB ADUN Trong untuk turut sama-sama memeriahkan majlis ini amat dihargai oleh semua warga SK Permatang Raja. Penceramah jemputan iaitu al-fadhil Ustaz Marul Hairi B. Mokhtar pula berjaya menyampaikan ceramah yang menarik minat murid-murid untuk mengenali erti cinta kepada Rasulullah SAW.

Berikut adalah sebahagian gambar-gambar pada majlis tersebut.


Rabu, 15 Februari 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah 1433H

Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah akan diadakan pada 17 Feb. 2012 (Jumaat). Majlis yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" ini adalah bertujuan untuk memperingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, menerapkan nilai-nilai akhlak yang terpuji di kalangan murid-murid serta untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara semua warga SK Permatang Raja.

Majlis ini akan bermula pada pukul 7.45 pagi dan diadakan di tapak perhimpunan. antara pengisian sambutan ini adalah pertandingan kuiz dan persembahan murid serta ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Marul Hairi B. Mokhtar dari SMK Dato' Idris, Pantai Remis. Ibu bapa murid-murid tahun 6 dijemput hadir untuk sama-sama kita menghayati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini.

Warga Baru SKPR


Pada tanggal 14 Feb. 2012 warga SK Permatang Raja telah menerima dua orang ahli baru iaitu Ustaz Mohd Fadhil B. Mohd Zamhuri dan Ustazah Siti Wardah Bt. Ahmad Lutpi. Kedua-duanya merupakan guru J-Qaf yang masih dalam tempoh latihan. SK Permatang Raja sangat mengalu-alukan kedatangan dua orang guru baru ini. Semoga kita semua dapat memanfaatkan ilmu yang akan dikongsikan oleh mereka.