Khamis, 17 Mei 2012

Hari Guru 2012


Sambutan Hari Guru bagi tahun 2012 peringkat sekolah telah diadakan pada 16 Mei 2012 (Rabu). Ia diadakan serentak dengan sambutan peringkat kebangsaan yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan".

Antara pengisian pada majlis sambutan ini ialah senamrobik, menonton siaran langsung perutusan khas Menteri Pelajaran melalui TV1, ikrar dan nyanyian lagu tema hari guru, persembahan murid, acara memotong kek, sukaneka dan acara kemuncaknya iaitu penyampaian hadiah kepada semua guru. Sebelum majlis berakhir, guru-guru dijamu dengan hidangan istimewa iaitu chicken chop. Secara keseluruhannya walaupun majlis ini disambut secara sederhana, namun ianya tetap meriah.   

Isnin, 26 Mac 2012

Tetamu Dari IPG


Sepanjang minggu lepas iaitu dari 19 hingga 23 Mac 2012 warga SK Permatang Raja telah menerima kunjungan daripada tiga orang guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG). Mereka ialah En. Mohd Zuhdi B. Mohd Rosdi dan En. Shahrul Nizam B. Hassan dari IPG kampus Pulau Pinang serta Cik Noor Syakinah Bt. Sallihudin dari IPG Kampus Perlis. Kunjungan mereka ini adalah untuk menyempurnakan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS/SBE) yang menjadi sebahagian dari latihan yang perlu dijalani sepanjang dalam tempoh di IPG. Warga SKPR mengalu-alukan kehadiran mereka dan medoakan agar mereka selamat maju jaya dalam menempuhi alam perguruan.

Jumaat, 9 Mac 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-11


Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Permatang Raja kali ke-11 telah diadakan pada 1 Mac yang lalu. Majlis yang bermula pada pukul 2.30 petang ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Rosli B. Husin, ADUN Trong. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran En. Razali dari PPD LMS selaku penghulu SK Permatang Raja, En. Musa B. Mustafa, Ketua Kampung Permatang Raja dan En. Yahya B. Othman, Ketua Kampung Sungai Che Rahmat.

Serentak dengan perasmian mesyuarat ini juga telah diadakan perasmian Dewan Terbuka DhaRT yang dinamakan sempena nama YB Datuk Hj. Rosli. Agenda utama mesyuarat kali ini adalah pemilihan jawatankuasa baru PIBG bagi sesi 2012/2013. Secara keseluruhannya kehadiran ibu bapa ke majlis ini adalah memuaskan dan masih boleh ditingkatkan pada masa-masa akan datang.

Jumaat, 2 Mac 2012

Kejohanan Balapan dan Padang MSS(R) Zon Trong 2012


SK Permatang Raja telah menghantar satu kontinjen untuk menyertai Kejohanan Balapan dan Padang MSS(R) Zon Trong 2012 pada 23 dan 24 Februari yang lalu. Kontinjen yang disertai oleh 29 orang peserta ini telah mengambil bahagian dalam beberapa acara dalam kejohanan yang telah dilangsungkan di SK Toh Johan,Trong. Bagaimanapun kontinjen SK Permatang Raja pulang hampa apabila hanya memungut satu pingat perak yang telah disumbangkan oleh Khairul Anwar B. Mohd Asri dalam acara 80 meter lari berpagar. Juara keseluruhan menjadi milik kontinjen tuan rumah, SK Toh Johan. Diharapkan semoga pada masa-masa akan datang pasukan sekolah akan lebih bersedia untuk menyertai kejohanan seperti ini supaya lebih banyak pingat akan dapat diraih demi untuk mengharumkan nama sekolah.

Rabu, 22 Februari 2012

Majlis Pelancaran Program Mentor-Mentee LINUS

Serentak dengan majlis perhimpunan mingguan pada 20 Februari 2012 lalu, telah diadakan majlis pelancaran Program Mentor-Mentee LINUS. Program yang bertemakan "Tunjuk Ajarku Cikgu" ini adalah hasil gagasan Jawatankuasa LINUS SK Permatang Raja. Matlamat utama program ini adalah untuk memastikan kesemua murid tahap satu dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta dapat melepasi ujian saringan yang telah ditetapkan oleh KPM/JPN/PPD.
Melalui program ini, tujuh orang guru telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi mentor dan akan membimbing mentee masing-masing. Mentee ini dipilih di kalangan murid-murid yang masih belum melepasi ujian saringan LINUS. Mentor akan memantau perkembangan mentee masing-masing sehingga mereka berjaya melepasi setiap saringan.

Isnin, 20 Februari 2012

Sekitar Sambutan Maulidur Rasul

Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun 1433H/2012M peringkat sekolah telah selamat diadakan pada tanggal 17 Februari 2012 sebagaimana yang telah dirancang. Walaupun kehadiran YB Datuk Hj. Rosli B. Husin, ADUN Trong ke majlis ini hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir, pihak jawatankuasa pelaksana tetap berjaya memastikan kelancaran perjalanan majlis ini. Kesudian YB ADUN Trong untuk turut sama-sama memeriahkan majlis ini amat dihargai oleh semua warga SK Permatang Raja. Penceramah jemputan iaitu al-fadhil Ustaz Marul Hairi B. Mokhtar pula berjaya menyampaikan ceramah yang menarik minat murid-murid untuk mengenali erti cinta kepada Rasulullah SAW.

Berikut adalah sebahagian gambar-gambar pada majlis tersebut.


Rabu, 15 Februari 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah 1433H

Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah akan diadakan pada 17 Feb. 2012 (Jumaat). Majlis yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" ini adalah bertujuan untuk memperingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, menerapkan nilai-nilai akhlak yang terpuji di kalangan murid-murid serta untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara semua warga SK Permatang Raja.

Majlis ini akan bermula pada pukul 7.45 pagi dan diadakan di tapak perhimpunan. antara pengisian sambutan ini adalah pertandingan kuiz dan persembahan murid serta ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Marul Hairi B. Mokhtar dari SMK Dato' Idris, Pantai Remis. Ibu bapa murid-murid tahun 6 dijemput hadir untuk sama-sama kita menghayati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini.