Isnin, 26 Mac 2012

Tetamu Dari IPG


Sepanjang minggu lepas iaitu dari 19 hingga 23 Mac 2012 warga SK Permatang Raja telah menerima kunjungan daripada tiga orang guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG). Mereka ialah En. Mohd Zuhdi B. Mohd Rosdi dan En. Shahrul Nizam B. Hassan dari IPG kampus Pulau Pinang serta Cik Noor Syakinah Bt. Sallihudin dari IPG Kampus Perlis. Kunjungan mereka ini adalah untuk menyempurnakan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS/SBE) yang menjadi sebahagian dari latihan yang perlu dijalani sepanjang dalam tempoh di IPG. Warga SKPR mengalu-alukan kehadiran mereka dan medoakan agar mereka selamat maju jaya dalam menempuhi alam perguruan.

Jumaat, 9 Mac 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-11


Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Permatang Raja kali ke-11 telah diadakan pada 1 Mac yang lalu. Majlis yang bermula pada pukul 2.30 petang ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Rosli B. Husin, ADUN Trong. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran En. Razali dari PPD LMS selaku penghulu SK Permatang Raja, En. Musa B. Mustafa, Ketua Kampung Permatang Raja dan En. Yahya B. Othman, Ketua Kampung Sungai Che Rahmat.

Serentak dengan perasmian mesyuarat ini juga telah diadakan perasmian Dewan Terbuka DhaRT yang dinamakan sempena nama YB Datuk Hj. Rosli. Agenda utama mesyuarat kali ini adalah pemilihan jawatankuasa baru PIBG bagi sesi 2012/2013. Secara keseluruhannya kehadiran ibu bapa ke majlis ini adalah memuaskan dan masih boleh ditingkatkan pada masa-masa akan datang.

Jumaat, 2 Mac 2012

Kejohanan Balapan dan Padang MSS(R) Zon Trong 2012


SK Permatang Raja telah menghantar satu kontinjen untuk menyertai Kejohanan Balapan dan Padang MSS(R) Zon Trong 2012 pada 23 dan 24 Februari yang lalu. Kontinjen yang disertai oleh 29 orang peserta ini telah mengambil bahagian dalam beberapa acara dalam kejohanan yang telah dilangsungkan di SK Toh Johan,Trong. Bagaimanapun kontinjen SK Permatang Raja pulang hampa apabila hanya memungut satu pingat perak yang telah disumbangkan oleh Khairul Anwar B. Mohd Asri dalam acara 80 meter lari berpagar. Juara keseluruhan menjadi milik kontinjen tuan rumah, SK Toh Johan. Diharapkan semoga pada masa-masa akan datang pasukan sekolah akan lebih bersedia untuk menyertai kejohanan seperti ini supaya lebih banyak pingat akan dapat diraih demi untuk mengharumkan nama sekolah.